Tuesday, March 24, 2009

SPR Sediakan 20 Lambang Untuk Calon Bebas

Bernama Online : 24 Mac, 2009 17:33 PM

ALOR SETAR, 24 Mac (Bernama) -- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyediakan 20 lambang untuk dipilih oleh calon-calon Bebas yang akan bertanding pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri kawasan Bukit Selambau pada 7 April ini.

Pengarah SPR Kedah, Zainal Abidin Zakaria berkata pengundian akan dibuat sekiranya terdapat lebih seorang calon memilih lambang yang sama."Lambang-lambang itu akan dipamerkan untuk dipilih dan mereka tidak dibenarkan menggunakan lambang selain dari yang disediakan SPR selepas masing-masing disahkan layak bertanding," katanya kepada Bernama semasa dihubungi, Selasa.

Beliau berkata antara lambang tersebut ialah kunci, telefon, bas dan kepala harimau.Pilihan raya kecil itu didakan berikutan peletakan jawatan anggota Exco kerajaan negeri, V. Arumugam daripada Parti KeAdilan Rakyat (PKR) pada 8 Feb lepas.

Penamaan calon ditetapkan pada Ahad ini dan sekiranya ada pertandingan, hari mengundi ialah 7 April.Menurut Zainal Abidin, 10 orang yang berhasrat bertanding termasuk calon Barisan Nasional (BN), Datuk S. Ganeson telah menjelaskan deposit calon sebanyak RM5,000 dan RM3,000 lagi untuk poster.

Calon PKR, S. Manikumar dijangka menjelaskan bayaran tersebut dalam masa terdekat."Deposit itu hanya akan dipulangkan kepada calon-calon yang menarik diri sebelum penamaan calon di Sekolah Menengah Teknik II di Sungai Petani, Ahad ini," katanya.

Beliau menasihatkan calon-calon yang bertanding supaya mematuhi undang-undang, berkempen secara berhemah, tidak menyakitkan hati lawan dan mengelak daripada menimbulkan keadaan yang boleh menyebabkan ketegangan.-- BERNAMA

No comments: