Saturday, April 4, 2009

Temuramah Mejar Anuar dengan MStar Online (Siaran Media Ahad - 05-April-2009)

MStar Online hari ini menyiarkan Temuramah dengan MEJAR ANUAR di laman web rasmi mereka ;
http://mstar.com.my/pilihanrayakecil/cerita.asp?file=/2009/4/5/mstar_pilihanrayakecil/20090404203051&sec=mstar_pilihanrayakecil

CALON BEBAS Anuar Abd Hamid keluar Umno ikut jejak Tun Dr Mahathir... (MStar Online)

SUNGAI PETANI: Nama Mejar (B) Anuar Abd Hamid mungkin tidak asing di kalangan ahli-ahli Umno di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau kerana beliau aktif dalam Umno sejak tahun 1990 sebelum mengambil keputusan keluar daripada Umno pada 19 Mei tahun lalu mengikut jejak langkah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas Ketua Umno Cawangan Jalan Badlishah sebelum ini pernah menyatakan beliau berhasrat menyertai semula Umno jika menang kerusi DUN ini memandangkan senario politik dalam Umno kini telah berubah selepas berlakunya peralihan kuasa.

mStar Onlineberpeluang menemuramah Anuar di pusat operasi beliau di Taman Peruda di sini.

mStar: Bagaimana timbul hasrat untuk bertanding?

Anuar: Apabila ADUN Bukit Selambau, V Arumugam meletak jawatan, Umno Merbok mahukan kerusi ini semula kerana kerusi ini sememangnya milik Umno sebelum diberikan kepada MIC.
Tujuan saya mahu bertanding adalah untuk mengembalikan kerusi ini kepada wakil rakyat Melayu dan sebab itu, saya bertanding atas tiket Bebas. Itu matlamat saya.

mStar:Bagaimana sambutan kempen yang anda jalankan setakat ini?

Anuar: Kempen setakat ini amat baik tetapi dalam skala yang lebih kecil. Selepas penamaan calon, kita teruskan memulakan kempen dan mensasarkan kawasan taman-taman perumahan dan kampung-kampung.

Setakat ini, maklum balas yang diterima sangat baik. Kita edarkan risalah kepada hampir 11,000 pengundi di kawasan ini melalui jentera saya yang berjumlah 30 orang.
Saya juga mencetak 250 banner untuk digantung di jalan-jalan.

mStar: Adakah anda mengadakan ceramah sebagai sebahagian cara berkempen?

Anuar: Tidak. Saya pergi rumah ke rumah dan melakukan perbincangan dalam kumpulan lima hingga enam orang.

Mereka dapat menerima dengan baik. Cuma saya akui agak penat sedikit kerana apabila masuk ke kawasan kampung, kita terpaksa berjalan kaki.

mStar: Bagaimana anda melihat saingan daripada lima calon Melayu yang lain?

Anuar: Kebanyakan calon Melayu yang lain merupakan orang luar sedangkan saya dilahirkan di sini dan kenal ramai penduduk di sini. Saya tidak kenal calon-calon ini. Pada hari penamaan calon tempoh hari, barulah saya bertemu mereka.

Ini bermakna mereka tidak mempunyai latar belakang politik kerana saya bergiat dalam politik hampir 20 tahun sebaik sahaja saya bersara daripada tentera pada tahun 1990.

Selain itu, saya juga aktif dalam aktiviti sosial termasuk di dalam dan luar negara. Semua orang boleh mendapatkan maklumat ini di blog saya (http://undimejaranuar.blogspot.com/)

mStar: Boleh anda beri komen mengenai tindakan anda mengikut jejak langkah Tun Dr Mahathir Mohamad keluar daripada Umno tahun lalu?

Anuar: Saya tinggalkan Umno pada 19 Mei 2008 semasa Tun mengumumkannya di Alor Star. Pada masa itu, ramai ahli cawangan saya yang mahu turut sama keluar tetapi saya tidak benarkan.

Senario sekarang sudah berubah. Masa saya mendaftar sebagai calon, saya tidak tahu yang bila Tun mahu kembali menyertai Umno. Saya sudahkan menggerakkan jentera saya dan juga mempunyai penyokong yang ramai.

Saya putuskan untuk terus bertanding kerana sebagai seorang bekas pegawai tentera, saya tidak akan lari daripada perjuangan kerana itu hanya menunjukkan kita mementingkan diri. Orang tidak akan hormat tindakan seperti itu.

Tun telah membuat keputusan untuk menyertai Umno semula dan itu keputusan beliau yang saya hormati.

mStar: Bagaimana dengan kenyataan anda sebelum ini yang menyatakan anda akan kembali menyertai Umno jika memenangi kerusi pilihan raya kecil ini?

Anuar: Kemungkinan saya akan menyertai Umno semula. Tetapi jika ditawarkan, saya akan kekal sebagai wakil rakyat Bebas pada masa itu sementara melihat senario politik semasa yang sedang berlaku.

Jika tidak menang, ia terpulang kepada Umno sama ada mahu menerima saya kembali atau tidak.

Mengikut perlembagaan Umno, sesiapa yang bertanding menentang Barisan Nasional (BN) ketika beliau masih ahli Umno, maka keahliannya gugur secara automatik. Bagaimanapun, saya bukan ahli Umno dan saya keluar secara sukarela, bukan digantung atau dipecat.

Saya tidak kisah kalau calon Melayu lain menang tetapi apa yang saya agak terkilan, mereka bukan dari isni, mereka orang luar.

mStar: Bagaimana anda melihat keupayaan calon-calon Bebas lain?

Anuar: Setakat ini, calon Melayu yang bersaing hebat dengan saya adalah Husaini Yaacob. Di kalangan calon India, L Sarala dilihat memberikan saingan yang cukup sengit.

Jangan pandang rendah calon-calon Bebas ini kerana dalam situasi ini, kita cukup susah untuk membaca sokongan yang diperolehi setiap calon.

Siapa boleh baca dalam 15 orang ini? Saya tidak boleh baca. Saya adalah bekas pegawai risikan tentera Kedah dan Perlis dan saya biasa membuat analisis. Tetapi pada kali ini, memang sukar untuk membacanya.

mStar: Apa yang anda sampaikan kepada pengundi ketika berkempen?

Anuar: Saya tekankan bahawa kita perlu kembalikan kerusi ini kepada wakil rakyat Melayu. Sudah sampai masanya, kita ambil semula kerusi ini kerana banyak pengundi Melayu di sini dan pertumbuhan pengundi Melayu juga meningkat.

Bagaimanapun, saya tetap mementingkan perkhidmatan yang terbaik kepada semua kaum termasuklah Cina dan India.

mStar: Bagaimana dengan tahap keyakinan anda untuk menang?

Anuar:Saya yakin akan beroleh kemenangan. Dalam keadaan sekarang, saya nampak saingan yang hebat daripada PKR dan BN. Saya percaya, undi daripada kaum India akan pecah besar.
Saya harap pengundi Melayu PAS akan mengundi saya kerana saya mempunyai hubungan yang baik dengan mereka.

SIARAN MEDIA : Ahad April 5, 2009
Oleh ZANARIAH ABD MUTALIB (MStar Online)

UNDILAH MEJAR ANUAR !

2 comments:

slyderrose said...

umno kata ramai calun bebas dari PKR tetapi yg sebenor dari umno..umno tipu lagi. Anuar ini adalah salah satu contoh umno yg jadi calun bebas. he, he, umno oh umno nak menipu aje ya..!

Selamat Selambau said...

slyderrose ni memang tak reti dan tak berapa nak faham bahasa melayu ni ... tak berapa mudah faham ni slyderrose ni ... kasihan.

Mejar berjuang ni UNTUK AGAMA, BANGSA DAN TANAHAIR. Khususnya kepada Melayu DUN Bukit Selambau.

Beliau dah tak de hubungan lagi dah dengan UMNO sejak keluar UMNO bersama Tun pada Mei 2008 dulu! Jadi, tak da masalah mengenai beluau dengan ex-partinya UMNO. Ada faham? Tak faham juga? Kesiannn ....

patutlah slyderrose sokong Pakatan, sebab baca apa pun tak mudah faham.